le.web.mgmt.300px-MD

Shahnaz Al-Sadat

Pengarah Urusan

Seorang yang mempunyai kepercayaan mendalam terhadap reformasi pendidikan dan pembangunan bakat, Shahnaz Al-Sadat menyertai LeapEd pada 2016 dengan lebih dua dekad pengalaman dalam pelbagai bidang termasuk 10 tahun di syarikat Arthur Andersen dan 10 tahun lagi menyumbang ke arah pembangunan negara melalui tugas-tugas beliau di Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Dalam kapasiti profesional, beliau pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Ketua Pegawai Kewangan dan juga Pengarah Eksekutif Pengurusan Strategik Sumber Manusia di Khazanah Nasional Berhad.

Di sepanjang karier beliau, Shahnaz sentiasa memberi fokus kepada tujuan-tujuan yang dekat di hati beliau termasuk menegaskan kepentingan perusahaan sosial di Malaysia. Sebagai seorang usahawan sosial, beliau telah menjadi pengasas bersama sebuah perusahaan sosial yang dikenali sebagai Arise Asia pada 2011 dengan tujuan untuk membantu orang ramai membuat kebaikan.

Shahnaz memegang ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B (Hons)) dari University of Nottingham, United Kingdom, dan ijazah Sarjana MBA dari International Institute for Management Development (IMD) Lausanne, Switzerland. Beliau juga adalah seorang Akauntan Awam Bertauliah (CPA) dan Juruaudit Dalam Bertauliah (CIA). Beliau sangat mempercayai pengkongsian ilmu, dan sentiasa berkongsi pengalaman dan kepakaran beliau dalam pelbagai lapangan pendidikan seperti Teach for Malaysia, PINTAR  Foundation dan MINDA.

Selain dari kehidupan korporat, Shahnaz juga menikmati kehidupan sebagai seorang ibu dan sangat suka meluangkan masa berkualiti bersama anak perempuan beliau.

le.web.mgmt.300px-GM

Zulhaimi Othman

Pengarah Urusan

Sejak Zulhaimi menyertai LeapEd pada tahun 2016, beliau telah menjadi Pengurus Besar, Bahagian Operasi Pendidikan sehingga Jun 2018. Pada Julai 2018, beliau telah ditugaskan untuk mengetuai Bahagian Perkhidmatan Korporat. Dengan pengalaman yang luas dan pelibatan yang penting di dalam program-program transformasi pendidikan LeapEd, beliau telah dilantik untuk menerajui LeapEd sebagai Pengarah Urusan pada Mac 2019.

Zulhaimi memulakan karier beliau di sebuah firma audit yang terkenal sebagai seorang juruaudit bertauliah di mana beliau terlibat dalam kerja-kerja audit dan khidmat nasihat kewangan, audit dalaman, perundingan risiko perniagaan serta perundingan pengurusan risiko.

Zulhaimi mempunyai 20 tahun pengalaman yang merangkumi pelbagai sektor termasuk khidmat korporat, sumber manusia, ICT, pengurusan risiko, tadbir urus, perancangan perniagaan dan audit dalaman di pelbagai GLC. Beliau menegaskan kepentingan kerjasama pasukan, integriti dan amalan nilai-nilai murni. Beliau sangat berminat dalam bidang pembangunan karier; dan sangat menganjurkan bantuan kepada organisasi, pasukan dan individu untuk memanifestasikan kekuatan dan memaksimumkan potensi masing-masing.

Sebelum menyertai LeapEd, beliau merupakan seorang Pengarah Program di sebuah perusahaan sosial yang ditubuhkan untuk usaha penambahbaikan pendidikan dan memaksimakan impak dalam komuniti tempatan. Semasa bekerja di sini, beliau telah dipinjamkan ke Yayasan AMIR, sebuah organisasi tanpa keuntungan yang diberi mandat untuk menguruskan Program Sekolah Amanah Yayasan AMIR (YATSP). Beliau telah meneraju keseluruhan urusan organisasi tersebut, terutama sekali pelaksanaan YATSP.

Zulhaimi suka bermain tenis, menonton filem animasi Pixar dan sangat suka meluangkan masa dengan isteri dan tiga orang anak lelaki mereka.

LE-foreward-300px-GM-Edu

Nina Adlan Disney

Pengurus Besar, Pembangunan Pendidikan

Nina menyertai LeapEd pada tahun 2017 dengan lebih 25 tahun pengalaman dalam sektor pendidikan di Malaysia: sebagai ahli akademik, pengurus, penerbit, penyelidik, perunding dan ibu kepada 3 orang anak.

Beliau memegang ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B (Hons)) dan ijazah Sarjana dari London School of Economics serta seorang peguam terlatih (barrister) dari Middle Temple. Beliau memulakan karier beliau di pejabat PwC di London dan KL, sebelum mula mengajar. Sejak dari itu, beliau telah memegang pelbagai jawatan kepimpinan yang merangkumi seluruh spektrum pembelajaran dan pembangunan: dari sekolah swasta dan antarabangsa, program pengayaan dan pelbagai aktiviti kokurikulum, kolej dan universiti, penerbitan dan perundingan, hingga ke latihan korporat dan vokasional.

Beliau sering menjadi pembentang dan moderator di persidangan pendidikan, berkhidmat di beberapa jawatankuasa pendidikan swasta dan awam, dan pernah dilantik sebagai perunding dasar dan strategi bebas untuk pelbagai projek pendidikan tempatan dan serantau. Pada masa lapang, beliau suka membimbing dan menghakimi acara syarahan awam dan debat, dan beliau telah membantu pelajar untuk mencapai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Untitled-13-01

Dr. Kasuma Satria

Pengurus Besar, Operasi Pendidikan

Dr. Kasuma menyertai LeapEd pada Julai 2018 dan mempunyai lebih 20 tahun pengalaman. Sebelum menyertai LeapEd, beliau telah memegang pelbagai jawatan tinggi pengurusan di TechnipFMC – sebuah syarikat multinasional dalam industri minyak dan gas, merangkumi Pembangunan Perniagaan, Perancangan Korporat dan Sumber Manusia di rantau Eropah dan Asia Pasifik. Beliau sebelum ini bekerja di Paris bagi menyelia Bahagian Sumber & Pelantikan Kumpulan syarikat tersebut.

Beliau adalah seorang bekas Pengakap DiRaja dan pegawai bertauliah di bawah Rejimen Askar Wataniah. Beliau memegang ijazah sarjana MBA dari Huddersfield University dan ijazah kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Multimedia Malaysia.

Seorang penyokong kuat dalam keperluan kanak-kanak istimewa dalam pendidikan khas, Dr. Kasuma memainkan peranan penting sebagai Yang DiPertua PIBG Pendidikan Khas di SMK Bandar Sunway (2016-2018) dan merupakan ahli EXCO bagi GOLD NGO (Generating Opportunities for Learning Disables). Sebagai seorang yang sangat aktif sebagai sukarelawan khidmat masyarakat, beliau beraspirasi untuk memaksimumkan potensi belia untuk memberi sumbangan ke arah masyarakat yang lebih baik.

Bapa kepada empat orang anak ini gemar membaca, mendaki dan melancong.

Conrad-01

Conrad Roy Fernandez

Pengurus Besar, Perkhidmatan Korporat

Conrad telah bersama-sama dengan LeapEd sejak dari awal penubuhannya pada tahun 2010. Beliau bermula sebagai Ketua Pemantauan dan Pelaporan Program Korporat yang menguruskan bidang perancangan korporat, perundangan dan harta intelek, kesetiausahaan syarikat serta pemasaran & komunikasi. Pada tahun 2016, beliau dilantik sebagai Ketua Pemantauan dan Penilaian Pelaksanaan Program yang ditugaskan untuk memantau projek-projek LeapEd yang sedang dilaksanakan serta melaporkan kemajuan projek-projek kepada pihak berkepentingan.

Sebelum menyertai LeapEd, Conrad pernah berkhidmat di Bahagian Pendidikan, Khazanah Nasional Berhad (KNB) yang berperanan menyelia inisiatif-inisiatif pendidikan oleh KNB termasuk Program Sekolah Amanah. Beliau juga pernah berkhidmat selama 8 tahun dengan Ernst and Young Advisory Services dan bertanggungjawab menguruskan projek-projek berkaitan audit dalaman, pengurusan program, penipuan dan forensik serta pengurusan risiko. Beliau berpengalaman luas menguruskan pelanggan dari pelbagai sektor seperti kerajaan, pembinaan, minyak dan gas, pengurusan dan pembangunan hartanah serta farmaseutikal.

Beliau pernah bergiat aktif dalam sukan terutamanya hoki dengan mewakili sekolah, negeri, negara dan kelab. Setelah bersara dari bidang sukan, beliau kini meluangkan lebih banyak masa untuk mengekalkan gaya hidup sihat dengan mengejar tiga orang anaknya.